Cukuplah peluang diberikan pada Khairul Dzaimee

 


Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (Ppimm) baru-baru ini menegaskan insiden seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tidak akan melemahkan semangat semua kakitangan jabatan tersebut.

Ppimm juga berkata, JIM akan terus marak menjalankan tugas kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.

Kelakar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ppimm. Kalau benar keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama, mengapa ramai para pegawai JIM ditahan terbabit dalam kes penyeludupan warga asing di seluruh negara?

Bukan satu atau dua kali, kes tentang pegawai JIM 'kantoi' terbabit dalam kes-kes seumpama itu. Malahan di KLIA pun ada pegawai JIM yang sanggup bersekongkol dengan ejen-ejen penyeludupan untuk 'bantu' meloloskan GRO.

KLIA yang merupakan laluan penting keluar masuk negara, dijadikan sebagai 'port' untuk para pegawai JIM melakukan perbuatan tidak bermoral. Belum lagi disentuh tentang 'pengkhianatan' pegawai JIM di pintu-pintu sempadan negara lain seperti di Bukit Kayu Hitam, Sungai Golok dan lain-lain lagi.

Bermodalkan RM300-RM1,000 sahaja, pintu sempadan negara mudah dicerobohi oleh anasir-anasir luar yang dibawa masuk oleh pegawai JIM yang korup! Adakah JIM tahu apakah implikasi yang tercetus akibat perbuatan terkutuk mereka?



Rakyat merana! Barangan seperti minyak masak mudah diseludup begitu sahaja ke negara jiran tanpa kawalan rapi. Akibatnya, bekalan minyak masak tidak mencukupi untuk rakyat. Mengapa? Tanyalah JIM atau lebih tepat tanyalah Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau yang sepatutnya memantau disiplin anak-anak buahnya sebagai pemimpin. Nak tunggu SPRM panggil, baru nak ambil tindakankah? Pegawai JIM 'kenyang' makan wang suapan, sedangkan rakyat terpaksa menanggung implikasi perbuatan JIM yang tidak bermoral!

Khairul Dzaimee 'sentap' apabila pelawak, Harith Iskandar menyatakan kaunter perkhidmatan Imigresen di Singapura lebih baik daripada Malaysia. Mengapa perlu 'sentap' kalau perkara itu tidak benar sama sekali?

Kalau tidak benar sekali pun, bukankah Khairul Dzaimee sepatutnya mengambil kritikan itu sebagai sesuatu yang positif dan memperbaiki mutu perkhidmatan JIM?

Harith mengkritik terdapat 20 kaunter Imigresen di KLIA tetapi hanya dua sahaja yang dibuka, sedangkan kaunter Imigresen di Singapura dibuka sepenuhnya. Sepatutnya, Khairul Dzaimee menjadikan Singapura sebagai contoh untuk penanda aras JIM. Bukan sahaja Harith mengkritik, malahan ramai lagi rakyat dan warganet menyokong kritikan berkenaan.

Itu baru rakyat sendiri mengkritik. Adakah Khairul Dzaimee mahu menunggu pihak-pihak luar mengkritik mutu perkhidmatan JIM, baru terhegeh-hegeh mahu menambah baik mutu perkhidmatan sedia ada? Bukankah situasi itu lebih memalukan buat imej negara? Tempat pertama yang 'dilawati' oleh pelancong asing adalah KLIA dan JIM sewajarnya memberikan pandangan pertama yang baik untuk mereka.



Khairul Dzaimee tidak layak untuk memegang portfolio sebagai Ketua Pengarah. Pelantikannya sahaja sudah diragui kerana wujud unsur kronisme dalam pelantikannya pada 2019. Ini bermakna beliau sebenarnya bukanlah individu yang tepat untuk menjadi Ketua Pengarah Imigresen. Hanya dipilih berdasarkan kroni semata-mata.

Apa sumbangannya pun kita tidak tahu. Tiada apa yang hendak dibanggakan dalam resume Khairul Dzaimee dalam JIM. Khairul Dzaimee sepatutnya dilucutkan jawatannya jika melihat kepada kes-kes yang membabitkan Imigresen. Bukan sedikit kontroversi yang terjadi, melibatkan JIM.

Isu tahanan mati dalam depot tahanan JIM juga tidak dijelaskan dengan sebetulnya oleh Khairul Dzaimee. Isu tahanan lolos dari depot tahanan sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Kedua-dua isu berkenaan dibangkitkan oleh kumpulan hak asasi manusia yang menuntut situasi sebenar di depot tahanan JIM.



Khairul Dzaimee sendiri mengakui tahanan tidak menggunakan sebarang peralatan untuk memecah pintu sel di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap pada April lalu. Rapuhnya sistem keselamatan JIM! Tahanan tidak perlu bersusah payah untuk meloloskan diri. Sepanjang Khairul Dzaimee menjadi Ketua Pengarah, tujuh kes tahanan lolos direkodkan. Tujuh kes dalam masa tiga tahun sahaja!

Seramai lebih kurang 300 tahanan juga mati di depot tahanan Imigresen antara 2020 hingga 2022. Sehinggakan Indonesia menuntut penjelasan tentang situasi sebenar di depot tahanan Imigresen. Khairul Dzaimee masih mahu sorokkan apa sebenarnya berlaku di depot tahanan?

Maka, memang wajar Khairul Dzaimee dilucutkan jawatannya sahaja. Beliau tidak berkaliber dan gagal sebagai seorang Ketua Pengarah Imigresen yang sepatutnya menambah baik kualiti perkhidmatan dan keselamatan jabatan tersebut. Tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah bukan sahaja duduk di pejabat yang berhawa dingin semata-mata, malah lebih daripada itu.

Comments

Popular posts from this blog

Letak jawatan, Ketua Pengarah Imigresen!

Rombak sahaja JIM, KP Imigresen wajar diganti