Rombak sahaja JIM, KP Imigresen wajar diganti
Sejak Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dilantik menjadi
Ketua Pengarah (KP) Imigresen pada 2019, kontroversi membabitkan Jabatan
Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah lekang di media.
Kredibilitinya boleh dipersoalkan pada saat ini.
Mengapa JIM mencetuskan begitu banyak kontroversi sejak beliau dilantik? Adakah
beliau bukan individu yang tepat untuk mengetuai JIM?
Jangan dilupakan, pelantikan Khairul Dzaimee sebagai
KP mempunyai unsur-unsur kronisme. Maka tidak hairan mengapa beliau masih
memegang portfolio berkenaan sehingga hari ini, walhal banyak arahannya diragui
dan dikecam oleh kebanyakan pihak.
Isu-isu seperti pelarian lolos dari depoh tahanan
serta tahanan mati dalam depoh Imigresen memberi indikator bahawa Khairul
Dzaimee sewajarnya sudah menghantar notis peletakan jawatan bagi menunjukkan
beliau bertanggungjawab ke atas ketidakcekapan JIM dalam mengendalikan perkara
berkaitan hak asasi kemanusiaan seperti ini.
Malaysia boleh menjadi perhatian dunia sekiranya JIM
masih gagal mengendalikan tahanan asing, sekali gus berpotensi menjejaskan imej
negara. Sudah ada pihak-pihak tertentu dari Indonesia mengecam keculasan JIM
dalam mengendalikan tahanan negara itu di Malaysia.
Soalnya, siapa patut bertanggungjawab dalam menjawab
semua kritikan dan kecaman tersebut kalau bukan KP Imigresen sendiri? Khairul
Dzaimee hanya memalukan negara. Sewajarnya Khairul Dzaimee lebih proaktif serta
tegas dalam mengarahkan anak-anak buahnya untuk menjaga tahanan di depoh
Imigresen dengan baik, namun malangnya beliau gagal berbuat demikian.
Saban tahun, rakyat Malaysia merungut dan mengeluh
tentang sistem membuat dan memperbaharui pasport di kaunter perkhidmatan JIM.
Rakyat terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan urusan mereka yang sebenarnya
hanya boleh mengambil masa singkat, gara-gara ada pegawai JIM yang tidak
bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.
Kaunter perkhidmatan hanya dibuka dua atau tiga
kaunter pada satu-satu masa, sedangkan kaunter yang tersedia adalah 10.
Malangnya, 'sikap terlalu selesa' dan tidak ambil endah pegawai JIM membuatkan
rakyat mengalami kesukaran menyelesaikan urusan mereka.
Selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
melawat Imigresen Setia Tropika, barulah Khairul Dzaimee muncul dengan idea
untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan kaunter dan menubuhkan pasukan khas.
Seolah-olah ingin menampakkan beliau menjalankan tugas dengan baik sebagai KP
Imigresen. Sepatutnya dari awal beliau dilantik sebagai KP, pelaksanaan
seumpama itu sudah diterapkan dalam semua kaunter perkhidmatan JIM seluruh
negara.
Khairul Dzaimee juga pernah dikecam selepas sejumlah
anggota JIM ditahan berhubung penyeludupan warga asing di Johor Bahru pada
2020. Secara logiknya, penangkapan itu sedikit sebanyak menghilangkan
kepercayaan rakyat serta mencalarkan imej Imigresen.
Malahan, pemalsuan dokumen yang dilakukan bersama
sindiket penyeludupan adalah jenayah yang terancang dan dilakukan oleh orang
berpengaruh. Sepatutnya, JIM perlu dirombak untuk mengelakkan berlakunya kes
seperti itu berulang dan Khairul Dzaimee wajar meletakkan jawatan namun perkara
tersebut tidak berlaku.
Rombakan terhadap JIM adalah wajar supaya
penguatkuasaan undang-undang yang berkesan terhadap kakitangan awam selain mengekalkan
keselamatan negara. JIM adalah 'benteng' terakhir sempadan negara. Jika
anggotanya korup, bagaimana rakyat negara ini mahu hidup dengan aman? Sebagai
ketua, Khairul Dzaimee gagal memantau anak-anak buahnya melakukan salah laku.
JIM pada tahun lalu membuat tindakan tidak
berperikemanusiaan kepada tahanan warga asing. JIM bertindak menyembur bahan
pembunuh kuman kepada warga asing dalam satu serbuan.
Pakar kesihatan bagaimanapun tidak bersetuju dengan
tindakan JIM itu. Mereka menyatakan tahanan Imigresen juga adalah manusia dan
penyemburan itu adalah tidak wajar sama sekali. Selain itu, pakar kesihatan
turut menyifatkan perbuatan itu adalah berbahaya dan merampas maruah tahanan.
JIM bagaimanapun membalas kenyataan itu dengan
mengatakan pegawai mereka serta Khairul Dzaimee turut disembur dengan bahan
terbabit. Adakah JIM cuba membantah kata-kata pakar kesihatan yang sebenarnya
lebih arif dalam bidang perubatan dan kesihatan? Adakah JIM cuba menjustifikasi
perbuatan mereka tidak salah sama sekali?
JIM juga mengatakan tahanan dilayan dengan baik,
diberikan makanan, kemudahan tandas serta dibawa ke hospital jika sakit. Siapa
JIM cuba tipu? Adakah Khairul Dzaimee mengeluarkan arahan untuk memberikan
kenyataan selamat? Semua sedia maklum bahawa ramai tahanan Imigresen mati di
depoh akibat krisis kesihatan. Tahanan juga bertindak meloloskan diri daripada
depoh gara-gara tidak tahan dengan kesesakan dalam sel tahanan. Persoalan perlu
dijawab kembali oleh Khairul Dzaimee. Benarkah tahanan dilayan dengan baik?
Khairul Dzaimee sebelum ini dikatakan menghina
mahkamah berhubung isu penghantaran pulang 1,086 tahanan Myanmar. Walaupun
Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan penghantaran pulang mereka, namun
Khairul Dzaimee tetap meneruskan operasi tersebut.
Menurut NGO kemanusiaan, tindakan JIM itu hanya
memberi risiko keselamatan kepada semua warga Myanmar setibanya mereka di
negara asal.Penghantaran pulang warga Myanmar itu dikatakan meragukan dan
Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilarang
daripada berjumpa dengan semua tahanan berkenaan.
Apakah yang cuba disorokkan oleh JIM? Mengikut
laporan, masih ada 114 warga Myanmar yang tidak dihantar pulang ke negara asal.
Apa yang berlaku kepada baki tahanan itu? Apakah identiti mereka? Di mana
mereka berada sekarang? Malangnya semua jawapan itu tidak dijawab oleh Khairul
Dzaimee. Bukan itu sahaja, tindakan tersebut juga memberi isyarat kepada dunia
bahawa Malaysia mengiktiraf tindakan rampasan kuasa tentera Myanmar.
Begitu jelas sekali, Khairul Dzaimee sememangnya
mempunyai niat untuk mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Banyak tindakannya mencurigakan. Bukan sekali, tapi sudah banyak kali berlaku.
Hanya kerana mempunyai 'kabel' besar di belakangnya, Khairul Dzaimee tidak
'terusik'. Beliau malahan membuat keputusan seolah-olah JIM adalah miliknya.
Keputusan mahkamah juga dilanggar, apa lagi rakyat mahu harapkan daripada
Khairul Dzaimee? Selayaknya, sudah tiba untuk berundurlah, wahai Khairul
Dzaimee.
Comments
Post a Comment