Khairul Dzaimee ‘tali barut’ moden negara
Isu salah laku dalam kalangan pihak penguatkuasa bukan
benda baharu namun apa yang membimbangkan adalah jenayah itu masih terus
berlaku.
Persoalan yang timbul adalah integriti penguatkuasa
yang sepatutnya menjalankan dengan amanah dan menjadi tunjang utama kepada
pentadbiran kerajaan. Namun sekiranya perkara itu gagal dilakukan, adalah wajar
sekiranya dibasmi, bermula daripada akar umbi.
Pertama sekali perlu dibuat adalah memecat atau
menukar ketua sesebuah jabatan. Contoh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen
Malaysia (KP JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Mengapa nama Khairul Dzaimee disebut? Sepanjang
pentadbiran Khairul Dzaimee sebagai KP JIM, banyak salah laku berlaku dalam
kalangan penguatkuasa JIM.
Mengapa perkara itu perlu dibuat terlebih dahulu?
Bukankah seseorang ketua bertanggungjawab terhadap salah laku anak buahnya?
Dalam soal ini, Khairul Dzaimee hanya mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya
akan bertanggungjawab apabila ada anak buahnya melakukan salah laku.
Soalnya, sudah berapa kali isu salah laku membabitkan
JIM ini berlaku? Sepatutnya dalam sesebuah jabatan penguatkuasa seperti JIM,
isu ketirisan tidak timbul tetapi malangnya acapkali dilaporkan di dada-dada
akhbar.
Baru-baru ini, wujud pendedahan bahawa JIM meminta
wang suapan berjumlah RM13,000 daripada warga asing untuk dibebaskan daripada
tahanan. Bayangkan, kompaun yang sepatutnya dibayar cuma RM1,000 jika mengikut
saluran betul tetapi dinaikkan sehingga RM13,000 oleh sesetengah individu tidak
bertanggungjawab dalam JIM.
Itu baru satu pendedahan yang kita tahu. Kiralah kalau
10 orang ditahan dan kesemuanya membayar jumlah wang suapan yang sama kepada
individu terbabit, amaunnya menjangkau 6 angka. Mewah hidup individu berkenaan.
Boleh tampung gaji selama beberapa tahun, hanya dengan makan wang rasuah.
Untuk 'memudahkan' urusan dengan JIM, warga tempatan
mahu pun warga asing yang terdesak, tidak berfikir panjang untuk membayar wang
suapan sebanyak itu. Namun kalau ikut saluran yang betul, banyak betul karenah
birokrasi yang dihadapi. Dokumen tidak cukup, pegawai tiba-tiba ada urusan
kerja lain; sebut sahaja apa jua alasan. Licik bukan permainan JIM?
Perkara sama terjadi di pintu masuk sempadan negara.
Hulur saja duit, pasti lepas. Tanpa menyediakan 'buku merah', hulur sahaja wang
berjumlah RM300-RM1,000 kepada pegawai JIM. Mudah bukan jika warga asing mahu
masuk ke negara ini? Sangat rapuh benteng pertahanan sempadan negara. Rambang
mata apabila melihat wang sehingga sanggup mengetepikan kedaulatan negara.
Sebelum ini, beberapa pegawai JIM Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kerana meloloskan gadi pelayan
pelanggan warga asing memasuki negara ini. Lebih mengejutkan, dianggarkan lima
hingga 10 kaunter dibuka dalam satu-satu masa yang mana anggota JIM yang telah
dibayar ejen akan bertugas di situ sebelum melepaskan mereka tanpa semakan dan
pemeriksaan.
Ejen-ejen itu akan berhubung dengan pegawai Imigresen
di KLIA dan KLIA2 untuk mengatur kaunter yang akan membantu meloloskan pekerja
asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia.
Keamanan dan keselamatan Malaysia bukan terletak pada
bahu tentera dan polis semata-mata tetapi juga JIM. Cadangan rombakan JIM juga
pernah dibuat oleh pihak tertentu selepas sejumlah anggota JIM ditahan kerana
penyeludupan warga asing di Johor pada 2020. Cadangan rombakan itu dapat
membantu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan
terhadap kakitangan awam, dan anggota yang terlibat harus dikenakan tindakan
dengan segera.
Penyeludupan warga asing melibatkan pemalsuan dokumen
yang dilakukan bersama sindiket dan merupakan jenayah terancang, membabitkan
orang berpengaruh. Dalam jenayah serius seperti ini, individu yang patut
dipersalahkan adalah Khairul Dzaimee kerana gagal mendisiplinkan anak-anak
buahnya.
Kalau dibiarkan sahaja warga asing memasuki negara ini
tanpa kawalan undang-undang yang ketat, makin ramai warga asing akan menceroboh
Malaysia. Bukankah perkara hampir serupa pernah berlaku ketika zaman Jepun
menceroboh Tanah Melayu? Disebabkan ada tali barut, mudah sahaja tentera Jepun
memasuki negara ini dan menawan Tanah Melayu. Adakah JIM mahu sejarah berulang
kembali?
Baru-baru ini, Khairul Dzaimee menafikan dakwaan penganiayaan terhadap pelancong India di KLIA. Berdasarkan video yang tular berkenaan, pelancong India yang tiba di negara ini terpaksa menunggu dalam tempoh terlalu lama masa untuk urusan imigresen di KLIA walaupun kesemua mereka mempunyai dokumen perjalanan sah. Tambah memburukkan keadaan, pelancong tersebut dipaksa duduk di atas lantai.
Ini bukan kali pertama pelancong India khususnya
berdepan situasi itu. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada
2020 menjalankan siasatan terhadap kematian warga India ketika dalam tahanan
Imigresen selepas dijangkiti Covid-19. Suhakam turut mempersoalkan keputusan
JIM untuk menahan mangsa, Zeawdeen Kadar Masdan, atas dasar memiliki visa tamat
tempoh di saat dia tidak boleh memohon lanjutan visa susulan perintah kawalan pergerakan
(PKP).
Suhakam juga mengatakan mangsa tidak patut ditangkap
kerana memiliki dokumen perjalanan sah tetapi hanya luput dan mangsa tidak
boleh memohon lanjutan kerana PKP serta sepatutnya JIM lebih bersikap
bertolak-ansur dalam soal berkenaan. Mungkinkah disebabkan mangsa tidak mampu
menghulurkan wang suapan? Sebab itu JIM enggan mengambil kira apa jua dikatakan
oleh mangsa. Layanan buruk hanya diberikan kepada mereka yang menggunakan
saluran yang betul. Adakah ini sesuatu yang sepatutnya diamalkan oleh
penguatkuasa? Tepuk dada, tanya diri sendiri.
Zeawdeen Kadar Masdan bukanlah satu-satunya mangsa yang mati dalam depot tahanan JIM. Dia hanyalah seorang daripada 298 orang tahanan yang meninggal dunia di depoh tahanan Imigresen sejak 2020 sehingga kini. Daripada jumlah itu, enam daripadanya adalah kanak-kanak.
Kematian dalam tahanan adalah perkara yang serius dan
tidak boleh diketepikan begitu sahaja tanpa siasatan sewajarnya, terutama
ketika jumlah korban mencecah ratusan. Malah, kematian yang tidak dapat
dijelaskan hanya akan memburukkan hubungan Malaysia dengan negara lain di mana
warga mereka meninggal dunia dalam tahanan kerajaan.
Mengikut rekod dikeluarkan oleh Indonesia misalannya,
sepanjang tempoh 18 bulan lalu, seramai 17 tahanan warga negara itu ditempatkan
di depot tahanan JIM Tawau, meninggal dunia. Ini bermakna, hampir setiap bulan
tahanan negara itu meninggal dunia.
Sangat memalukan! JIM patut bertanggungjawab dalam
soal ini. Patutlah lebih 500 tahanan Rohingya bertindak meloloskan diri daripada
depot tahanan pada April. Sekiranya layanan dan kemudahan yang diberikan untuk
semua tahanan JIM adalah baik, tidak akan timbul isu tahanan meloloskan diri.
Ruang tahanan yang sesak, kemudahan tandas yang kotor antara punca mengapa
mereka tekad melarikan diri. Sesiapa pun tidak akan tahan untuk tinggal dalam
suasana sedemikian.
Di bawah pentadbiran Khairul Dzaimee, kira-kira tujuh
kes tahanan meloloskan diri daripada depot tahanan berlaku. Itu bermaksud
Khairul Dzaimee tidak mengambil iktibar daripada kejadian pertama dan hanya
membiarkan sahaja depot tahanan terus berada dalam keadaan daif tanpa
mempedulikan nasib tahanan. Sekiranya beliau adalah seorang yang
bertanggungjawab, sudah banyak langkah-langkah penambahbaikan boleh dilihat
dalam depot tahanan. Malangnya, ia tidak berlaku. Khairul Dzaimee hanya tampil
di dada-dada akhbar dan memberikan kenyataan sekadar untuk melepaskan dirinya.
Seandainya Khairul Dzaimee masih mempunyai sikap
bertanggungjawab dan rasa malu pada diri, mundurlah daripada jawatan anda.
Bukan sedikit kontroversi yang berlaku sepanjang anda menjadi KP JIM. Rakyat
pun sudah muak dengan segala kontroversi berlaku membabitkan JIM. Sudah tiba
masa, berilah jawatan anda kepada orang yang betul-betul jujur dan amanah. Jika
Khairul Dzaimee sayangkan negara, sila berundur kerana keselamatan Malaysia
tidak selamat di tangan anda.
Comments
Post a Comment