KP Imigresen muka tembok


Sejak awal tahun ini, banyak kontroversi melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Antara kes yang dilaporkan adalah kes tahanan lolos, isu kematian di dalam depoh tahanan dan banyak lagi.

Semua isu yang dilaporkan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh JIM. Malahan, semua isu terbabit melibatkan keselamatan negara serta warga asing.

Meskipun ada warga asing datang ke negara ini secara haram, namun mereka juga mempunyai hak asasi manusia yang dilindungi di bawah payung Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Sekiranya isu-isu ini tidak ditangani dengan baik, apa akan berlaku kepada reputasi Malaysia yang sering memperjuangkan hak asasi manusia dan keamanan sejagat di peringkat antarabangsa?


Individu yang patut bertanggungjawab dalam hal ini adalah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. Sepatutnya dia lebih bertanggungjawab dan sudah meletakkan jawatannya ketika ini.

Insiden seperti tahanan lolos dari depoh tahanan dan kematian dalam depoh tahanan menunjukkan Khairul Dzaimee culas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai KP.

Seorang KP Imigresen yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga agensi itu seharusnya lebih peka tentang keadaan setiap depoh tahanan. Buat pemantauan secara berkala di semua depoh tahanan seluruh negara.

Namun, Khairul Dzaimee seolah-olah tidak malu dengan apa yang berlaku dan terus menjalankan tugasnya. Dia juga tidak terima desakan meskipun banyak kes melanda JIM pada tahun ini.

Untuk pengetahuan semua, pelantikan Khairul Dzaimee agak mencurigakan dari awal. Pada 10 Januari 2019, Datuk Jamil Rakon terima Nota Serah Tugas sebagai KP Imigresen baharu.

Namun selang beberapa hari kemudian, Khairul Dzaimee diumumkan sebagai KP Imigresen baharu, menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali.

Pelantikan Khairul Dzaimee turut mendapat respons daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa lantikan itu mempunyai unsur campur tangan politik selain wujud amalan kronisme.



Pelantikan Khairul Dzaimee sebenarnya mempunyai kaitan dengan percubaan menganugerahkan kontrak IT Jabatan Imigresen yang bernilai RM3.5 bilion.

Projek yang dimaksudkan adalah myIMMs Global. Projek itu sebenarnya ada kaitan dengan seorang pegawai kanan dalam KDN. Individu itu pula mempunyai kaitan dengan syarikat yang menerima projek myIMMs Global.

Malahan, pegawai kanan itu ada kaitan dengan dengan pertukaran terbaharu pelantikan KP Imigresen. Tidak peliklah mengapa Khairul Dzaimee dilantik secara mendadak.

Ketika itu, Menteri KDN adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Khairul Dzaimee pula bukan asing bagi Muhyiddin. Dia pernah pegang jawatan bekas timbalan ketua setiausaha (dasar dan kawalan) KDN.

Khairul Dzaimee juga mempunyai kartel tersendiri yang 'dibarisi' oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Kabel besar rupanya. Patutlah tidak boleh disentuh. Sebab itu, tiada desakan untuk dia meletakkan jawatan meskipun pelbagai kontroversi melanda JIM.

Khairul Dzaimee juga dikatakan terpalit dengan konspirasi untuk menjatuhkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Shafiq Abdullah bersama-sama kartelnya.

Baru-baru ini, Shafiq menegur seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan video kejadian itu tular di media sosial. Bagaimanapun, video itu dilihat mencurigakan kerana hanya memaparkan sebahagian kejadian itu dan seolah-olah disunting untuk menampakkan Shafiq adalah pihak yang bersalah.

Susulan kejadian itu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa siasatan khas untuk menyiasat kejadian berkenaan. Ironinya, panel jawatankuasa itu terdiri daripada kartel Khairul Dzaimee iatu Zuki dan Azam. Macam satu kebetulan yang dirancang.

Mengapa mereka mahu menjatuhkan Shafiq? Zuki sudah lama 'berperang' dengan Shafiq dan mempunyai niat untuk melanjutkan tempoh kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Negara dan Azam pula tidak berpuas hati dengan Shafiq selepas Shafiq enggan melayan permintaannya berhubung penukaran deklarasi aset.


Hebat bukan konspirasi kotor mereka? Mungkin itu puncanya JIM berdepan pelbagai kontroversi, Khairul Dzaimee terlalu sibuk menjatuhkan pihak lain tanpa mengambil kisah apa yang berlaku dalam jabatannya.

Kalau Khairul Dzaimee ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, tidaklah sampai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang meninjau keadaan Imigresen Setia Tropika dan menegur kualiti kemudahan Kompleks Kastam, Imigrsen dan Kuarantin (CIQ).

Itu baru sebut satu negeri. Belum sebut negeri-negeri lain lagi. Kalau semua Menteri Besar setiap negeri turun padang meninjau kemudahan Imigresen, banyak pekung JIM yang terbuka. Isu kaunter dan isu proses pasport yang lembab menjadi bualan rakyat saban tahun, namun tidak diendahkan oleh JIM.



Salah siapa? Tanyalah Khairul Dzaimee. Dia KP Imigresen. Sepatutnya dia lebih tegas dalam soal-soal seperti ini. Jangan sibuk bermain politik kotor, utamakan kualiti perkhidmatan JIM dan selenggara segala depoh tahanan yang berkualiti rendah itu.

Pantau juga segala isu rasuah melibatkan pegawai JIM di sempadan negara. Bukan baru ya perkara itu, sudah lama, namun tiada tindakan menyeluruh. Pantau juga mengapa wujudnya kes kematian di depoh tahanan. 298 kematian dalam dua tahun, bukan satu angka yang boleh anda tutup sebelah mata.

Rakyat mahukan penjelasan dan akauntabiliti daripada anda, Khairul Dzaimee. Kalau di negara Jepun atau Korea Selatan, seseorang pegawai atau menteri rela meletakkan jawatan sekiranya gagal menunjukkan prestasi terbaik, namun Khairul Dzaimee seolah-olah muka tembok, tidak malu dengan prestasi sendiri serta enggan berundur.

Kali ini, Khairul Dzaimee mungkin selamat kerana mempunyai kabel besar, tapi selama mana anda boleh bongkak duduk di kerusi KP. Kuasa rakyat lebih besar sebenarnya, tunggu masa sahaja untuk rakyat mendesak anda letak jawatan.


Comments

Popular posts from this blog

Letak jawatan, Ketua Pengarah Imigresen!

Cukuplah peluang diberikan pada Khairul Dzaimee

Rombak sahaja JIM, KP Imigresen wajar diganti