KP Imigresen tidak peduli masalah rakyat
Kalau buka media sosial pada hari ini, pelbagai cerita
kurang enak dapat kita dengar tentang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Ramai
meluahkan rungutan tentang karenah birokrasi yang berlaku ketika berurusan
dengan JIM.
Perkara yang membuatkan rakyat Malaysia paling meluat
dan menyampah adalah sistem pembaharuan pasport yang tidak sistematik. Salah
satu rungutan kerap diutarakan oleh rakyat adalah kaedah muat naik gambar
peribadi ke dalam laman sesawang JIM.
Sudahlah tidak dinyatakan dengan jelas apakah saiz
yang sebenarnya untuk muat naik gambar. Sepatutnya, apabila sistem itu lebih
memudahkan bagi rakyat, tetapi sebaliknya berlaku. Apabila situasi seperti ini
berlaku, sudah tentu rakyat lebih memilih untuk membuat pembaharuan pasport di
kaunter.
Apabila hendak membuat urusan di kaunter, lain pula jadinya. Daripada 10 kaunter, hanya 2 atau 3 kaunter sahaja dibuka. Paling membingungkan, JIM beri alasan 'pegawai bercuti' atau 'pegawai ada urusan' sekiranya mahu membuat urusan yang memerlukan kelulusan segera.
Selain itu, terdapat rungutan atau aduan tentang
tempoh masa untuk pasport siap. Bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas,
pasport boleh diambil dalam hari yang sama manakala mereka yang berumur bawah
60 tahun terpaksa menunggu selama 3 hingga 4 hari waktu bekerja. Mengapa JIM
meletakkan peraturan yang tidak masuk akal? Jika pasport untuk warga emas boleh
disiapkan pada hari sama, mengapa tidak melakukan perkara sama untuk semua
peringkat usia? Bukankah menyusahkan rakyat untuk berulang-alik ke JIM untuk
membuat dan mengambil pasport?
Kalau tengok di mana-mana kaunter JIM di seluruh
Malaysia, rata-ratanya dipenuhi orang ramai. Kenapa jadi begitu? Kerana
situasi-situasi yang disebutkan di atas. Sewajarnya orang atasan atau Ketua
Pengarah (KP) Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud perlu turun padang
meninjau sendiri semua kaunter-kaunter perkhidmatan yang ada.
Rakyat membayar cukai kepada kerajaan setiap tahun.
Sepatutnya mutu perkhidmatan terutamanya di kaunter-kaunter JIM sudah
dipertingkatkan, bukannya masih di takuk lama. Tambahan pula, JIM memperoleh
hasil kutipan negara sebanyak RM3.5 bilion pada Ogos 2022.
Bukankah nilai itu lebih daripada mencukupi untuk menambah baik sistem perkhidmatan JIM terutamanya laman sesawang dan kaunter-kaunter perkhidmatan di seluruh negara? Dunia semakin maju dan bergerak pantas namun JIM masih mundur ke belakang.
Baru-baru ini, timbul polemik dalam kalangan rakyat
tentang seorang pemain bola sepak yang dinaturalisasikan. Bagaimana seorang
pemain bola sepak yang hanya menetap di Malaysia selama lima tahun dapat
dinaturalisasikan dengan mudah? Mengapa kelulusan terhadap pemain itu diberikan
dengan mudah oleh JIM?
Berdasarkan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan,
mana-mana individu yang berumur 21 tahun atau ke atas perlu memenuhi beberapa
kriteria penting sebelum layak untuk memohon menjadi warganegara Malaysia.
Salah satu syarat paling penting dalam Perkara 19 itu
adalah pemohon telah bermastautin dalam Malaysia selama lebih 10 tahun daripada
tarikh permohonan. Bagaimana pemain tersebut dibenarkan untuk dinaturalisasikan
meskipun tidak memenuhi syarat ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan?
Walhal, ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan
rakyat asing dan mahu mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi anak mereka telah
dinafikan haknya. Ada yang terpaksa berulang-alik ke JIM demi mendapatkan
status warganegara Malaysia untuk anak mereka namun disebabkan pelbagai alasan
tidak masuk akal, mereka gagal mendaftarkan anak mereka.
Antara alasan yang diberikan adalah anak tersebut akan mengundang risiko keselamatan kepada negara. JIM menyuruh ibu bapa berkenaan mendaftarkan anak mereka sebagai warganegara belah bapa. Jika pemain bola sepak yang tidak memenuhi syarat boleh dinaturalisasikan dengan mudah, mengapa ibu warganegara Malaysia dinafikan hak untuk mendaftarkan anaknya?
Khairul Dzaimee perlu beri jawapan yang jelas tentang
isu ini. Sebagai seorang KP Imigresen, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa
isu-isu seperti ini ke pihak kementerian berkaitan dan dibincangkan dalam
Kabinet bagi mendapatkan solusi membantu ibu bapa yang berdepan situasi
tersebut.
Belum lagi dibongkar tentang ada yang tidak mendapat
kad pengenalan meskipun dilahirkan di Malaysia dan ibu bapanya adalah rakyat
Malaysia.
Selain itu, rakyat juga melontarkan kemarahan
berhubung keadaan di pintu sempadan negara untuk memasuki Singapura. Rakyat
tiada masalah untuk beratur panjang terutamanya memahami keadaannya ketika cuti
persekolahan. Namun rakyat marah disebabkan kelembapan perkhidmatan kaunter JIM
di pintu sempadan. Tular di media sosial, rakyat terpaksa bersesak untuk
memasuki negara berkenaan. Sekali lagi, rakyat membayar cukai setiap tahun
untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik. JIM juga memperoleh kutipan hasil
yang tinggi.
Alasan yang diberikan adalah Singapura turut memulakan cuti persekolahan. Daripada memberi alasan sedemikian, bukankah lebih baik merancang untuk menambah baik sistem sedia ada? Bukan sahaja di pintu sempadan ke Singapura, kaunter perkhidmatan JIM di pintu-pintu sempadan ke negara lain seperti di Bukit Kayu Hitam menuju ke Danok juga dikatakan tidak efisien.
Tidak salah rasanya untuk 'melabur' untuk memberikan
sistem perkhidmatan yang efisien kepada rakyat. Sampai bila rakyat perlu
berdepan situasi seperti ini? Sehingga kini, Khairul Dzaimee masih tidak
memberikan penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Rakyat bukan hanya
mahu mendengar alasan disebabkan cuti sekolah. Rakyat mahukan satu solusi.
Kalau Khairul Dzaimee tidak mampu memikirkan solusi, lebih baik meletakkan
jawatan sahaja. Berikan kepada individu lain yang lebih layak dan berkaliber
memegang jawatan tersebut.
Khairul Dzaimee juga masih belum memberikan penjelasan
tentang mengapa kanak-kanak dan bayi ditahan di depot tahanan JIM. Kanak-kanak
dan bayi tidak sepatutnya berada dalam tahanan di depot tahanan Imigresen.
Mereka sewajarnya diberi perlindungan dan diproses
dokumen mereka dengan kadar segera mengikut undang-undang. Mengapa mereka
ditahan begitu lama di depot tahanan JIM sekiranya JIM tiada rancangan untuk
menghantar mereka pulang ke negara asal.
Agak tidak munasabah apabila sebahagian daripada
mereka yang sudah ada kad kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk
Pelarian (UNHCR) dan yang tidak ada dokumen ditahan sedemikian lama tanpa akses
kepada proses perundangan.
JIM di bawah Khairul Dzaimee, tidak mencapai KPI yang
sepatutnya. Tidak efisien, penuh dengan skandal rasuah dan pelbagai lagi kontroversi
yang melanda. Khairul Dzaimee perlu sedar bahawa JIM bukanlah 'taman permainan'
peribadinya. JIM diwujudkan untuk memberikan perkhidmatan yang baik kepada
rakyat dan melindungi keselamatan negara. Disebabkan terlalu 'sibuk' menjarah
duit rakyat, Khairul Dzaimee tidak langsung peduli tentang kritikan rakyat
terhadap JIM dan masih berada di takuk lama. Selagi Khairul Dzaimee menjadi KP
Imigresen, selagi itu rakyat terpaksa berdepan situasi sama setiap tahun.






Comments
Post a Comment